PROGRAM KPerak e-Learning Cluster (KPEC) merupakan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika beliau menjadi Pengerusi Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Negeri Perak sebelum ini.
Matlamat program tersebut adalah menjadikan golongan pelajar di negeri Perak memiliki pemikiran yang kreatif, kritikal serta mampu belajar dan meluaskan pengetahuan secara berdikari.
Program yang dimulakan pada 2007 itu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih ceria, interaktif dan menarik melalui aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua mata pelajaran di sekolah.
Di bawah program KPEC, guru tidak perlu lagi memberikan penerangan panjang lebar di hadapan kelas mengenai sesuatu topik.
Dalam makmal komputer yang dikenali sebagai Studio Kreatif KPEC, guru hanya perlu menyebut tajuk yang akan diajar dan para pelajar sendiri akan mendapatkan maklumat berhubung tajuk yang diberikan di Internet.
Para pelajar kemudiannya akan berbincang dengan guru mengenai pemahaman mereka berdasarkan rujukan yang dibuat.
Sebagai contoh, bagi mata pelajaran sains pada hari berkenaan, para pelajar perlu belajar mengenai ikan paus. Guru akan meminta para pelajar mendapatkan pelbagai maklumat seperti imej dan latar belakang mengenai haiwan tersebut sebelum berkongsi maklumat dan berbincang.
Kerja sekolah pelajar yang terlibat dengan program KPEC menjadi lebih kreatif apabila para pelajar didedahkan kepada tugasan dalam bentuk digital seperti menyediakan filem pendek selama 10 minit, klip video atau tayangan slaid. Kemudahan kamera digital turut disediakan untuk membantu para pelajar memuatkan pelbagai imej dalam tugasan mereka.
Inisiatif program perintis KPEC yang mencatatkan hasil positif pada hari ini adalah selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Malaysia mewujudkan masyarakat kreatif dan berinovatif bagi memperkasakan negara.
Lima buah sekolah di Perak yang terlibat dengan projek perintis KPEC ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu, Manjung; SK Seri Ampang, Ipoh; SK Seri Adika Raja, Gerik; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Kelsom, Kuala Kangsar dan SMK Matang, Taping.